Monday, December 14, 2009

SEMINAR PENDIDIKAN GURU 2009

13-15 Dis. 2009, Seminar Pendidikan Guru 2009 telah diadakan di Hotel Crystal Crown Petaling Jaya. Seminar yang bertemakan "Melonjakkan Kecemerlangan Pendidikan Guru" ini telah disempurnakan oleh Y. Bhg Dato' Asariah Mior Shaharuddin, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan, Kementerian Pelajaran Malaysia.


Seminar ini adalah satu wadah penting yang boleh mengumpulkan tokoh dan ahli profesional pendidikan bagi mengenal pasti langkah terbaik untuk menjadikan persekolahan lebih berkesan, bermakna dan menyeronokkan.


Seminar ini juga dapat memantapkan perkongsian pintar di antara latihan perguruan dan amalan bilik darjah. Ia juga bertujuan untuk menyediakan forum kepada pendidik dan penyelidik mengenalpasti langkah terbaik untuk meningkatkan kualiti pendidikan amnya dan pendidikan guru khasnya di Malaysia.


Objektif seminar ini ialah ;
1. Memperkasakan wawasan dan hala tuju pendidikan guru di Malaysia
2. Melonjakkan jalinan antara latihan perguruan dengan amalan di sekolah.


Pembentang seminar ini antaranya;


Kertas kerja 1
Profesionalisme Guru daripada Perspektif Penaziran oleh Hj Ahmad Foaad Hashim Ketua Sektor Maklumat Naziran, Jemaah Nazir dan Kualiti


Kertas Kerja 2
Memartabatkan Profesionalisme Keguruan oleh Dr Khair Mohamad Yusof, Pengarah Bahagian Pendidikan Guru


Kertas Kerja 3
Hala Tuju Institut Pendidikan Guru oleh Dr Amin Senin, Timbalan Rektor IPG


Kertas Kerja 4
SMK Dato Ahmad Maher; Satu Catatan Pengalaman Pembangunan Model Sekolah Cemerlang oleh Hj Razali Mohamed Mantan Pengetua SMK Dato' Ahmad Maher.

Sunday, December 13, 2009

Kementerian Pelajaran teliti sesi persekolahan 2010

PUTRAJAYA 30 Nov. - Kementerian Pelajaran melakukan penelitian secara dekat membabitkan persiapan menghadapi sesi baru persekolahan pada tahun depan.

Ini bagi memastikan semua isu berhubung penggal persekolahan dapat ditangani sebelum sesi persekolahan 2010 bermula.

Perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penggal Persekolahan 2010 dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran di sini hari ini

Menurut kementerian itu, jawatankuasa tersebut memperincikan semua isu berkaitan persekolahan dan mengambil tindakan proaktif bagi menyelesaikannya.

"Segala isu melibatkan pelbagai aspek seperti infrastruktur, perabot, peralatan, penempatan guru, bayaran tambahan dan banjir.

"Komitmen kementerian adalah memastikan kemudahan asas untuk setiap murid iaitu satu set meja dan kerusi serta sat set buku teks bantuan disediakan pada hari pertama persekolahan," kata kenyataan yang dikeluarkan pada mesyuarat berkenaan di sini.

Sesi persekolahan tahun depan bermula pada 3 dan 4 Januari 2010.

Hadir sama pada mesyuarat tersebut ialah Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Pengarah-Pengarah Pelajaran Negeri dan ketua-ketua jabatan di kementerian itu.

Kenyataan itu menyebut, isu-isu yang mungkin timbul semasa sesi persekolahan 2010 dikenalpasti oleh Jawatankuasa Petugas Khas Penggal Persekolahan yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Operasi Pendidikan), Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim.

"Jawatankuasa itu telah mengenal pasti tindakan-tindakan yang perlu atau boleh diambil bagi mengatasi dan mengurangkan masalah yang mungkin timbul pada hari pertama persekolahan.

"Ini mengunakan instrumen Pangkalan Data Laporan Akhir Tahun (dBLAT)," katanya

Bakal guru wajib akujanji?

PUTRAJAYA 24 Nov. - Bakal guru mungkin diwajibkan menandatangani akujanji sanggup mengajar di kawasan pedalaman untuk tempoh sekurang-kurangnya lima tahun.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Puad Zarkashi berkata, syarat yang sedang dipertimbangkan itu bertujuan memastikan guru-guru yang baru berkhidmat di pedalaman tidak merayu untuk berpindah.

''Sebagai contoh, kebanyakan guru dari Kelantan dan Terengganu yang baru berkhidmat empat bulan dan dihantar ke pedalaman sudah minta berpindah.

''Ini benar, di Kelantan ada 54 kekosongan, yang mohon hendak balik 1,312 orang, jadi bila ada rungutan oleh guru yang sudah 10 tahun mengajar di Sarawak, sudah tentu tiada kekosongan di negeri itu," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Konvokesyen Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPG) di sini hari ini.

Puad menegaskan, dalam situasi sekarang, tempoh perkhidmatan tidak lagi diambil kira sebaliknya faktor kekosongan dan keperluan di sesebuah negeri menjadi keutamaan.

''Sekarang ini kita cadangkan letak syarat akujanji, kalau sanggup baru kita ambil bekerja, jangan nanti tak sampai enam bulan sudah merayu-rayu, kita juga yang susah.

''Jadi, selepas ini kalau sudah turunkan tandatangan, tetapi kemudian minta tukar, kita tak akan layan kecuali kes kritikal seperti faktor kesihatan," katanya.

Menurutnya, akujanji tersebut bukan bertujuan memberi tekanan kepada para guru tetapi menuntut mereka memahami bidang tugas dan tanggung jawab dari perspektif masyarakat tanpa memikirkan kepentingan diri semata-mata.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Puad menasihatkan ibu bapa yang anak mereka memperoleh keputusan cemerlang 5A tetapi gagal memasuki sekolah berasrama penuh agar tidak kecewa.

Ini kerana anak-anak mereka masih berpeluang memasuki kelas khas di sekolah kluster, sekolah cemerlang dan sekolah harian.

''Mereka akan mendapat suasana pembelajaran yang sama dengan asrama penuh, cuma bezanya tidak tinggal di asrama dan yang penting kekalkan semangat dan kecemerlangan akademik," katanya.

Pada tahun ini seramai 48,171 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) memperoleh 5A sedangkan kekosongan yang ditawarkan di sekolah berasrama penuh termasuk di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sekitar 12,000 tempat.