Tuesday, June 21, 2011

Mahasiswa perlu aktif kokurikulum

TEMERLOH 14 Jun - Golongan mahasiswa perlu bergiat cergas dalam aktiviti kokurikulum bagi meningkatkan lagi pemikiran kritis, kecekapan menyelesaikan masalah dan komunikasi.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, penyertaan mereka yang aktif dalam aktiviti tersebut dapat membantu meningkatkan keyakinan terhadap kebolehan dan kemahiran diri.

Selain lulus cemerlang dalam akademik, tegasnya, prestasi mereka yang aktif dalam kokurikulum akan diambil kira oleh bakal majikan apabila memohon pekerjaan selepas tamat pengajian nanti.

“Kita sering menerima rungutan daripada majikan yang tidak berpuas hati terhadap prestasi dan kualiti pekerja mereka walaupun mempunyai kelulusan cemerlang dalam akademik.

“Di universiti sudah ada kokurikulum sendiri bagi membentuk keperibadian dan jati diri mahasiswa tetapi sebahagian besar daripada mereka masih lemah dalam tiga elemen yang saya sebut tadi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Koperasi Pembangunan Tanah dan Ekonomi Persatuan Peniaga Islam Temerloh di sini semalam.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Temerloh menggesa pihak universiti memperkasakan lagi aktiviti kokurikulum mahasiswa sedia ada menerusi program kemahiran insaniah.

Katanya, ramai siswazah gagal mendapat pekerjaan kerana tidak mahir berkomunikasi terutama dalam bahasa Inggeris, tidak cekap berinteraksi dan menyelesaikan masalah.

Katanya, ketiga-tiga aspek itu merupakan penanda aras kepada setiap siswazah untuk dinilai kebolehan dan prestasi mereka semasa menghadiri sesi temu duga.

Katanya, kokurikulum adalah penting bagi membantu mereka supaya tidak merasa janggal semasa memasuki dunia pekerjaan.

Beliau berkata, mulai tahun lalu, semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menetapkan mahasiswa perlu cemerlang dalam bidang kokurikulum untuk menambah markah penilaian mereka pada tahun akhir.

No comments:

Post a Comment